Menjengah Makam Laksamana Bentan di Kota Tinggi, Johor.SELEPAS BANJIR: Mengubati perasaan insan yang derita.....




Tiga ratus lapan tahun lalu di tanah inilah berlakunya pertumpahan darah seorang sultan yang dibunuh oleh laksamananya ketika menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Sultan sempat menikam laksamananya Megat Seri Rama. Peristiwa tragis ini berlaku kerana Megat Seri Rama berdendam kepada Sultan Mahmud Shah II yang membunuh isterinya Dang Anum kerana memakan nangka kegemaran baginda. Ketika itu Dang Anum sedang mengidam buah nangka kerana sedang mengandungkan anak Megat Seri Rama. Megat Seri Rama yang terkenal sebagai Laksamana Bentan telah dipercayai dikebumikan di tebing Sungai Kota Tinggi di Kampung Kelantan, Kota Tinggi. Kampung ini dilanda banjir besar sebanyak dua kali ketika banjir besar 2006 dan 2007 lalu.

Walaupun kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merupakan kisah yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis kerana tiga puluh dua tahun lalu pernah berlakun sebagai Qadam Sultan di pementasan teater sekolah, namun kedatangan pada 25 Februari lalu ke Kota Tinggi bukanlah untuk merakam kisah tersebut tapi kedatangan bersama kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Rohany Nasir, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UKM adalah untuk merakam gambar kesan-kesan banjir besar di Kota Tinggi.

Akibat masa yang agak terhad (kami hanya berada di Kota Tinggi sekitar enam jam sahaja) maka Makam Sultan Mahmud tidak dapat diziarahi. Seharian di sana penulis sempat merakam kesan trauma mangsa banjir dan kesan fizikal Bandar Kota Tinggi itu sendiri.

Dua kenderaan UKM yang tiba di perkarangan Masjid Kampung Kelantan membuka kisah sebenar apabila kanak-kanak yang sedang bermain di situ mengeluarkan dailog "ehh bantuan datang, bantuan datang.....". Mungkin Prof. Dr Rohany Nasir dapat memahami maksud tersirat. Mereka tidak mengerti apa-apa kecuali keseronokan ketika banjir dengan bantuan barangan sahaja. Pastinya dua puluh tahun lagi jika banjir melanda, mereka baru tahu erti peritnya kemusnahan!

Misi kami seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi. Pegawai polis yang ditemui telah memberikan taklimat bagaimana perjalanan kerja-kerja bantuan dijalankan.

Dengan bantuan dua orang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat kami kemudiannya ke Kampung Tembioh yang terletak di pinggir Sungai Kota Tinggi. Kesan yang dialami memang menyayat hati. Air setinggi bumbung rumah. Terdapat rumah yang dihanyut air sejauh seratus meter. Hancur. Kalau ada pun cuma bekasnya sahaja. Terdapat dua rumah sedang didirikan. Salah sebuah memperolehi bantuan dari seorang penderma setelah kisahnya dipaparkan di sebuah akhbar tempatan. Manakala sebuah lagi yang disiarkan di sebuah TV swasta.

Penulis tidak mahu menceritakan kemusnahan harta yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir. Penulis hanya ingin melihat dan membawa balik kesan emosi oleh mereka. Bayangkan seorang wanita bersama suaminya sedang membersihkan kulit bawang dengan upah hanya lima belas sen sekilogram. Paling menyayat hati, wanita ini menceritakan bagaimana anaknya hendak belajar di sebuah universiti kerana masalah kewangan. Wanita ini hanya mampu berkata dia mahu memberhentikan pengajian anaknya!

Di satu sudut, dua rakan karib sedang bertemu. Pada perkiraan kami mereka adik beradik. Setelah diberitahu mereka hanya rakan karib. Sementara itu di sebuah rumah terdapat ramai tetamu. Penulis baru tahu kemudianya, mereka datang dari Batu Pahat menziarahi kakak. Sedang mereka juga mengalami banjir sebelum ini.

Inilah kisah-kisah disepanjang perjalanan penulis sejak dua bulan lalu. Boleh dikatakan hampir setiap minggu jika ada peluang penulis akan tiba di kawasan bencana banjir.

Jika ini teori yang disampaikan oleh guru penulis ketika belajar membuat novel dan cerpen, "jangan menulis apa yang kamu tidak nampak, tapi tulis apa yang kamu alami..."

Kini yang terjadi, apa yang penulis lihat tetapi tidak mampu untuk menulis semuanya dalam ruangan yang terhad ini.Mujur penulis seorang Jurufoto, maka banyak gambar-gambar yang dirakam dan boleh menceritakan segala-galanya dengan penjang dan lebar.

Misi meninjau ke tempat-tempat yang landa banjir sebenarnya telah tiba ke penghujung pada 25 Februari 2007 setelah berjaya ke Kota Tinggi bersama kumpulan penyelidik yang membuat tinjauan awal kesan psikologi ke atas mangsa-mangsa banjir. Walaupun penulis bersama kumpulan pensyarah dan pelajar psikologi, namun perasaan penulis sendiri tidak aman setelah melihat apa yang mereka alami. Belum lagi melihat awan mendung masih wujud dengan tebal di ruang angkasa Kota Tinggi. Menurut pegawai polis yang memberi taklimat kepada rombongan dari UKM, jika mendung penduduk Kota Tinggi akan merasa bimbang.

Setelah berada di beberapa daerah yang terlibat banjir di Johor, penulis ingin membawa kepada anda untuk merenung kata-kata ini: "hari ini hari anda, hari esuk entah saya; hari ini kita berada (harta benda), hari esuk entah tidak entah ya!!". Kata-kata ini penulis nukilkan berasaskan apa yang kita lihat dua tahun lalu ( 26 Disember 2004) ketika Banda Aceh dilanda tsunami. Ketika itu sebenarnya ramai yang ingin turut membantu. Namun akibat masalah pemerentahan yang berbeza maka ramai yang tidak dapat menunaikan hajat mereka.

Justeru banjir besar yang berlaku di negara kita, haruskah kita melihat sahaja? Hulurkan apa sahaja yang termampu oleh kita. Hulurkanlah apa saja kepakaran yang ada. Kerana ujian ini Allah turunkan didepan mata kita.

25 Februari 2007
Makam Laksamana Bentan, Kota Tinggi Johor.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pengalaman Meninjau Kesan Banjir Besar di Johor 2006-2007