Halaman

Ahad, 12 Ogos 2012

Kajian Banjir Besar Johor-Sudah terbit.


Ketika saya menerima arahan untuk ikut serta misi para penyelidik peristiwa banjir besar Johor 2006-2007 hati saya masih berbaur sayu.

...bersambung.

Ahad, 12 Oktober 2008

Pengalaman Meninjau Kesan Banjir Besar di Johor 2006-2007

Mengimbau Meriam Malim Deman di Segamat, menyusuri Sungai Muar ke Kota Benyan dan menziarahi Makam Laksamana Bentan di Kota Tinggi, Johor. Saya terlibat sebagai anggota Briged Bencana IPTA (UKM) dan sebagai Jurufoto Rasmi untuk Ahli Jawatankuasa Penyelidikan Kesan Besar Johor 2006-2007 peringkat UKM. Jawatankuasa ini terdiri dari pakar-pakar dalam agama Islam, sains, kejuruteraan, ekonomi, pendidikan, undang-undang,psikologi.


Perhatian: Catatan dalam blog ini disusun semula dari laman web asal : Catatan Misi banjir Johor
Lihat artikel yang berkaitan <sila klik>

Ahad, 3 Ogos 2008

Tinjauan saya














TINJAUAN PERTAMA: 7 Januari 2007- Bukit Kepong,Muar
TINJAUAN KEDUA: 20 Januari 2007- Kundang Ulu,Muar
TINJAUAN KETIGA: 27 hingga 29 Januari 2007- Segamat, Batu Pahat dan Muar.
TINJAUAN KEEMPAT: 18 hingga 20 Februari 2007-bersama keluarga ke Muar dan Segamat.
TINJAUAN KELIMA: 25 Februari 2007-Kota Tinggi.





Siapa mahu mengalami bencana? Tiada siapa yang inginkan bencana berlaku. Sebab itu setiap umat Islam berdoa agar dijauhi segala mara bahaya.

Namun tidak ada sesiapa yang mampu mengelak dari bencana itu berlaku. Kebiasaannya bencana akan datang secara tiba-tiba. Samaada semasa tidur, bertugas atau apa saja yang kita lakukan.

Kita boleh berusaha untuk mengelak agar bencana buruk tidak menimpa kita. Berdoa tanpa usaha itu tandanya kita tidak "bertawakal". Namun berdoa dan berusaha namun bencana itu datang juga, maka itulah dinamakan "takdir"

Justeru, ayuhlah kita berusaha agar bencana tidak datang lagi. ingatlah pesan pemimpin negara, ingatlah nasihat alim ulamak. Patuhilah perintah pihak berkuasa. Akhir sekali percayalah fakta penyelidikan bahawa kemusnahan alam sekitar merupakan perbuatan tangan-tangan orang-orang yang tidak bertanggung jawab!!!!!

Anak Menantu Di Luar Johor Jadi Panik


19 Disember 2006- Jam 1 petang isteri saya menelefon kakaknya di Muar. Dia menarik nafas lega kerana rumah kakaknya tidak terjejas kerana banjir. Isteri saya bimbang kerana rumah kakaknya terletak berhampiran sebuah parit besar.

Hari yang sama, jam 8 malam siaran TV menyiarkan berita " Segamat lumpuh". Saya menghubungi biras saya. "Ya rumah kawan (bahasa orang Segamat dan Pahang) naik air jam 3 pagi tadi. Dua kereta tenggelam.Satu kereta anak kawan. Saya terbayangkan bagaimana keadaan Bandar Segamat waktu itu. Esuknya siaran TV menyiarkan orang ramai mengambil barang-barang dari pasaraya yang teremdam air banjir. Mana tidaknya Segamat boleh lumpuh, di kawasan banjir terdapat pusat komersial seperti bank yang menempatkan mesin-mesin ATM, Tabung Haji (LUT), kedai makanan segera, kedai serbaneka lagi. Jalan yang ditutup merupakan jalan utama Segamat ke Yong Peng.

Jam 8.30 malam saya menghubungi anak saudara di Kluang yang tinggal di Jalan Kluang ke Mersing

"Ok Paksu, kami selamat..." jawab Razi anak kakak saya.

25 Disember 2006 ; saya menghubungi Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk mengetahui jadual perjalanan ke selatan. Pihak KTM memberitahu tren ke selatan telah memulakan perkhidmatan sejak 24 Disember. Anak saudara isteri saya keesukan hari dapat pulang ke Segamat dengan selamat.

Secara peribadi saya lihat banjir yang berlaku di Johor begitu besar. Tambahan inilah pertama kali berlaku di Johor dizaman di era tahun 2000. Jika di Kelantan, Trengganu dan lain lain negeri mereka telah bersedia kerana kerap mengalami banjir.

7 Januari 2007 jam 10 pagi- Saya berada di halaman rumah Tuan Haji Abd. Rahman. Hari Ahad merupakan hari cuti hujung minggu. Bagi saya hari ini tiada rehat. Hari ini juga mengajar saya erti kemanusian. Saya menjelajah beberapa buah rumah untuk melihat merakam gambar serta merakam perasaan mangsa-mangsa banjir.

Pengubat Gundah Gulana


Di sebuah rumah saya melihat seperti ada keramaian. Sebenarnya tidak. Mereka berkumpul anak menantu bersama Sukarelawan UKM mengemas rumah.

Ketika berkumpul untuk mengambil gambar sebagai kenangan bersama Sukarelawan UKM seorang wanita bertanya saya dalam slang Jawa " Ini mahu masuk TV mana Encik?"

"Saya pun tak tahu nak masuk ke TV mana, sebab saya tengok semua TV kat rumah ni dah habis terendam...agaknya dah dua minggu tak tengok TV ye?" balas saya bergurau.

Mereka ketawa. Fikir saya mungkin ini sudah boleh menghiburkan mereka. Setidak-tidaknya Hari Raya Aidilfitri kelak bila saya mahu ke Segamat dapat singgah untuk menyampaikan gambar hari ini.

Menjengah Makam Laksamana Bentan di Kota Tinggi, Johor.SELEPAS BANJIR: Mengubati perasaan insan yang derita.....




Tiga ratus lapan tahun lalu di tanah inilah berlakunya pertumpahan darah seorang sultan yang dibunuh oleh laksamananya ketika menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Sultan sempat menikam laksamananya Megat Seri Rama. Peristiwa tragis ini berlaku kerana Megat Seri Rama berdendam kepada Sultan Mahmud Shah II yang membunuh isterinya Dang Anum kerana memakan nangka kegemaran baginda. Ketika itu Dang Anum sedang mengidam buah nangka kerana sedang mengandungkan anak Megat Seri Rama. Megat Seri Rama yang terkenal sebagai Laksamana Bentan telah dipercayai dikebumikan di tebing Sungai Kota Tinggi di Kampung Kelantan, Kota Tinggi. Kampung ini dilanda banjir besar sebanyak dua kali ketika banjir besar 2006 dan 2007 lalu.

Walaupun kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merupakan kisah yang meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis kerana tiga puluh dua tahun lalu pernah berlakun sebagai Qadam Sultan di pementasan teater sekolah, namun kedatangan pada 25 Februari lalu ke Kota Tinggi bukanlah untuk merakam kisah tersebut tapi kedatangan bersama kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Rohany Nasir, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UKM adalah untuk merakam gambar kesan-kesan banjir besar di Kota Tinggi.

Akibat masa yang agak terhad (kami hanya berada di Kota Tinggi sekitar enam jam sahaja) maka Makam Sultan Mahmud tidak dapat diziarahi. Seharian di sana penulis sempat merakam kesan trauma mangsa banjir dan kesan fizikal Bandar Kota Tinggi itu sendiri.

Dua kenderaan UKM yang tiba di perkarangan Masjid Kampung Kelantan membuka kisah sebenar apabila kanak-kanak yang sedang bermain di situ mengeluarkan dailog "ehh bantuan datang, bantuan datang.....". Mungkin Prof. Dr Rohany Nasir dapat memahami maksud tersirat. Mereka tidak mengerti apa-apa kecuali keseronokan ketika banjir dengan bantuan barangan sahaja. Pastinya dua puluh tahun lagi jika banjir melanda, mereka baru tahu erti peritnya kemusnahan!

Misi kami seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi. Pegawai polis yang ditemui telah memberikan taklimat bagaimana perjalanan kerja-kerja bantuan dijalankan.

Dengan bantuan dua orang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat kami kemudiannya ke Kampung Tembioh yang terletak di pinggir Sungai Kota Tinggi. Kesan yang dialami memang menyayat hati. Air setinggi bumbung rumah. Terdapat rumah yang dihanyut air sejauh seratus meter. Hancur. Kalau ada pun cuma bekasnya sahaja. Terdapat dua rumah sedang didirikan. Salah sebuah memperolehi bantuan dari seorang penderma setelah kisahnya dipaparkan di sebuah akhbar tempatan. Manakala sebuah lagi yang disiarkan di sebuah TV swasta.

Penulis tidak mahu menceritakan kemusnahan harta yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir. Penulis hanya ingin melihat dan membawa balik kesan emosi oleh mereka. Bayangkan seorang wanita bersama suaminya sedang membersihkan kulit bawang dengan upah hanya lima belas sen sekilogram. Paling menyayat hati, wanita ini menceritakan bagaimana anaknya hendak belajar di sebuah universiti kerana masalah kewangan. Wanita ini hanya mampu berkata dia mahu memberhentikan pengajian anaknya!

Di satu sudut, dua rakan karib sedang bertemu. Pada perkiraan kami mereka adik beradik. Setelah diberitahu mereka hanya rakan karib. Sementara itu di sebuah rumah terdapat ramai tetamu. Penulis baru tahu kemudianya, mereka datang dari Batu Pahat menziarahi kakak. Sedang mereka juga mengalami banjir sebelum ini.

Inilah kisah-kisah disepanjang perjalanan penulis sejak dua bulan lalu. Boleh dikatakan hampir setiap minggu jika ada peluang penulis akan tiba di kawasan bencana banjir.

Jika ini teori yang disampaikan oleh guru penulis ketika belajar membuat novel dan cerpen, "jangan menulis apa yang kamu tidak nampak, tapi tulis apa yang kamu alami..."

Kini yang terjadi, apa yang penulis lihat tetapi tidak mampu untuk menulis semuanya dalam ruangan yang terhad ini.Mujur penulis seorang Jurufoto, maka banyak gambar-gambar yang dirakam dan boleh menceritakan segala-galanya dengan penjang dan lebar.

Misi meninjau ke tempat-tempat yang landa banjir sebenarnya telah tiba ke penghujung pada 25 Februari 2007 setelah berjaya ke Kota Tinggi bersama kumpulan penyelidik yang membuat tinjauan awal kesan psikologi ke atas mangsa-mangsa banjir. Walaupun penulis bersama kumpulan pensyarah dan pelajar psikologi, namun perasaan penulis sendiri tidak aman setelah melihat apa yang mereka alami. Belum lagi melihat awan mendung masih wujud dengan tebal di ruang angkasa Kota Tinggi. Menurut pegawai polis yang memberi taklimat kepada rombongan dari UKM, jika mendung penduduk Kota Tinggi akan merasa bimbang.

Setelah berada di beberapa daerah yang terlibat banjir di Johor, penulis ingin membawa kepada anda untuk merenung kata-kata ini: "hari ini hari anda, hari esuk entah saya; hari ini kita berada (harta benda), hari esuk entah tidak entah ya!!". Kata-kata ini penulis nukilkan berasaskan apa yang kita lihat dua tahun lalu ( 26 Disember 2004) ketika Banda Aceh dilanda tsunami. Ketika itu sebenarnya ramai yang ingin turut membantu. Namun akibat masalah pemerentahan yang berbeza maka ramai yang tidak dapat menunaikan hajat mereka.

Justeru banjir besar yang berlaku di negara kita, haruskah kita melihat sahaja? Hulurkan apa sahaja yang termampu oleh kita. Hulurkanlah apa saja kepakaran yang ada. Kerana ujian ini Allah turunkan didepan mata kita.

25 Februari 2007
Makam Laksamana Bentan, Kota Tinggi Johor.

Selepas dua bulan Johor dilanda banjir besar.- Benarkah wujud "Meriam Malim Deman" sehari sebelum banjir besar melanda Segamat?

Pada 18 hingga 20 Februari penulis membawa keluarga balik Muar. Tiba di pagoh kami ke Kampung Kundang Ulu. Sempat bersolat Asar dan sempat bertemu dengan Imam Masjid Kundang Ulu. Imam tersebut seronok menceritakan majlis pelancaran Kampung Angkat UKM pada 17 Februari 2007. Penulis pernah ke kampung tersebut pada 20 Januari 2007 merakam gambar Briged Bencana IPT-UKM membersihkan rumah penduduk-penduduk di situ. Justeru penulis kenal dengan Imam tersebut.

19 Februari saya menyusuri Jalan Muar-Pagoh ke Segamat. Hujan turun amat lebat pada hari tersebut. Kami sekeluarga bersama sebuah lagi kereta yang dipandu oleh anak saudara isteri, seperti mengambil risiko kerana pada tanggal tarikh tersebutlah banjir besar telah melanda Segamat. Penulis sempat bertemu seorang peniaga cina yang masih menyambut kemeriahan Tahu Baru Cina di Bukit Kepong. Peniaga cina itu menunjukkan beberapa keping gambar semasa banjir melanda pekan kecil Bukit Kepong.

Pukul 3.45 petang kami tiba di Bandar Segamat. Masih jelas kelihatan kesan-kesan banjir. Namun kehidupan penduduk Segamat telah pulih seperti sedia kala dengan meneruskan kegiatan harian. Di satu sudut kelihatan orang ramai membeli pakaian. Malahan kami sempat menikmati nasi berlaukkan ikan Baung masak lemak dan Semilang laut masak asam pedas. Di kawasan kedai makanan inilah air mengganas 19 hingga 22 Disember 2006 lepas.

Selepas itu penulis membawa keluarga ke Kampung Jawa Segamat. Inilah kesempatan terbaik untuk menunjukkan kesusahan orang lain kepada anak-anak penulis. Paling menggembirakan penulis apabila melewati rumah seorang wargatua yang roboh semasa banjir kini telah hampir siap dibina. Penulis dan anggota penyelidik UKM pernah singgah di rumah tersebut pada 27 Januari 2007 lepas.

"Sekali air bah, sekali pantai berubah" menepati dengan apa yang penulis lihat semasa melepasi Sungai Segamat. Kelihatan tebingnya runtuh. Meninjau ke beberapa permis memberi gambaran kepada penulis bahawa banjir telah memberikan kesan yang besar pada ekonnomi bandar Segamat. Misalnya sebuah pasaraya merentangkan sepandok berbunyi " Jualan penghabisan stok kerana kami akan berpindah ke tempat baharu." Sebuah agensi perbankan masih belum beroperasi sepenuhnya kerana sedang diubah suai.

19 Februari sebelah malam, penulis sempat bersembang dengan suami kepada adik ipar (biras). Beliau anggota RELA di Segamat. Biras penulis menceritakan bagaimana keadaan kucar kacir seumpama TSUNAMI disekitar Segamat. Bunyi hond dan alarm kereta yang ditenggelami air begitu bising sekali. Keadaan gelap kerana ketiadaan eletrik amat menyukarkan kerja-kerja menyelamat. Arus air begitu deras.

Apa yang menarik untuk dikaji oleh saintis ialah dakwaan biras penulis mengenai hilangnya semut gatal dan semut-semut lain sebelum banjir besar melanda Segamat. Beliau mendakwa semut-semut tersebut terlebih dahulu mungkin merasai akan berlakunya banjir besar dengan menghilang ke pokok-pokok di bahagian atas!!!

Sudah menjadi satu metos (dongeng?) terdapat apa yang dikenali oleh penduduk Segamat mengenai Meriam Segamat telah meletup pada 19 Disember 2006. Biras penulis mendakwa ramai orang mendengar dentuman meriam tersebut. Untuk menggukuhkan dakwaan beliau memberitahu bahawa pihak polis juga ada mendengar dentuman tersebut.

Adakah metos "Meriam Segamat" merupakan satu unsur misteri ataupun unsur-unsur kejadian alam harus difikirkan bersama. Kerana ramai penduduk Segamat sering terdengar jika Segamat akan dilanda banjir besar. Malahan terdapat penduduk sudah bersiap untuk berpindah ke tempat lebih selamat jika terdengar "Meriam Malim Deman atau Meriam Segamat"!

Penulis sempat membeli satu Vedio CD yang dirakam oleh pengusaha bernama JR Vedio. Vedio yang diberi tajuk Sumpahan Malim Deman mengambarkan bagaimana keadaan Bandar Segamat pada 20 hingga 22 Disember. Keadaan air banjir amat menyeramkan.

Seperti terungkap oleh kata-kata adik ipar penulis, air begitu mengganas sebelum meragut beberapa nyawa. Penulis begitu terharu bila biras berkata " kawan rasa banjir ini boleh tahan lagi kerana rumah dan harta benda lain masih selamat. Keluarga masih selamat. Tapi kalau gempa bumi?......."

Samada metos Meriam Segamat atau Sumpahan Malim Deman itu benar atau dongengan, apa yang pasti kesan banjir telah menyebabkan wujudnya keharmonian masyarakat, sikap bersiap sedia jika sekiranya hujan turun dengan lebatnya pada masa-masa akan datang. Jikalau Meriam Segamat yang masih menjadi misteri itu boleh dijadikan tanda awal atau amaran banjir, kajian harus dilakukan apakah dentuman itu merupakan Meriam Malim Deman ataupun proses bom air yang berlaga di kuala Sungai Segamat atau bunyi guruh dari langit?

Biar apa pun tiap kali jikalau saya ke Segamat hati teras gusar apabila hujan turun dalam jumlah yang lama. Bimbang banjir akan berlaku lagi..............

Kajian awal kesan banjir besar di Johor


Perniagaan Besar pun Terpaksa Gulong Tikar

Banjir yang melanda Johor pada bulan Disember 2006 dan Januari 2007 memberi kesan dan impak yang besar kepada penduduk. Tambahan banjir ini melanda di daerah Kota Tinggi, Batu Pahat, Kluang Muar sebanyak dua kali. Justeru satu kumpulan penyelidikan telah dibentuk untuk membuat kajian awal mulai 27 hingga 29 Januari 2007.

Kumpulan penyelidikan yang datang dari berbagai disiplin kajian bergabung dan telah berpecah dua dan membuat kajian di utara dan selatan Johor. Satu kumpulan meninjau ke utara Johor iaitu di Segamat, Batu Pahat dan Muar diketuai oleh Prof. Dr. Salmijah Surif. Satu kumpulan lagi ke selatan Johor di Kluang, Kota Tinggi dan Johor Baharu diketuai Dr. Norela Sulaiman.

Penulis bersama kumpulan yang meninjau utara Johor telah ke Segamat, Batu Pahat dan Muar. Dalam tinjauan awal ini kumpulan penyelidik telah mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah,Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Ibu Pejabat Polis.

Taklimat telah diberikan oleh pegawai yang bertanggungjawab di agensi berkenaan berkaitan pengurusan menghadapi bencana banjir besar itu. Tinjauan juga telah diadakan ke Empangan Juaseh dan Empangan Bokok dengan kerjasama Syarikat Air Johor Segamat dan JPS Batu Pahat.

Tinjuan awal oleh Jawatankuasa Kajian Banjir UKM ini telah memperolehi hasil mengenai kesan banjir yang berkaitan dengan kesan psikologi, ekonomi, pendidikan.

Catatan penulis sewaktu kali kedua ke tempat dilanda banjir

Ketika penulis dipelawa oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Prof.Dr.Salmijah Surif untuk mengikuti tinjauan awal ke kawasan banjir diseluruh daerah di Johor, keadaan banjir kali kedua belum banyak berubah. Prof. Salmijah tidak pasti apakah misinya itu akan menjadi kenyataan kerana beliau tidak mahu kedatangan kumpulan penyelidikannya akan membebankan mangsa-mangsa banjir di Johor.

Jam 6.00 petang 17 Januari 2007 beliau menefon saya bahawa misi ke Johor ditangguhkan. Namun beliau mengesyurkan jika boleh penulis menyertai Misi Sukarelawan Banjir UKM (kini dinamakan Briged Bencana IPTA-UKM ). Petang itu juga saya menghubungi Saliman Leman (Wak Leman-Jurufoto PUSPA)untuk mengetahui keadaan ditempat beliau berada, iaitu Pagoh. Saliman sedang menyertai misi bantuan banjir oleh Briged Bencana IPTA-UKM. Sejak 26 Disember 2006 sahabat saya ini lebih banyak berkampung di Johor bersama Briged Bencana IPTA-UKM. Pagoh sudah menjadi Mukim Angkat UKM.

Media seolah-olah "penat" membuat laporan di kawasan banjir. Namun menerusi media kita tetap dapat menerima berita mengenai jumlah mangsa banjir melebihi 50 ribu orang. Ini satu jumlah yang besar. Bukan sehari dua tapi sudah hampir sebulan.

20 Januari 2007 jam 7.30 pagi lima buah bas, sebuah lori telah menyusuri Lebuhraya ke selatan. Jam 9.30 pagi kami tiba di Pagoh selepas berehat sebentar Briged Bencana IPTA-UKM beredar ke Kampung Kundang Ulu. Di Kampung Kundang Ulu telah sedia menunggu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Wahid Samsudin. Seperti kebiasaannya Briged Bencana IPTA-UKM yang didatangkan khas dengan lima buah bas menunaikan misi bantuan membersih rumah-rumah mangsa banjir. Sekumpulan lagi mengecat Masjid Kampung Kundang Ulu yang terjejas teruk. Kebanyakan keperluan masjid musnah termasuk permaidani, sejadah, Al Quran dan kitab.

Kampung Kundang Ulu 20 minit perjalanan dengan kenderaan darat terletak dipinggir Sungai Muar. Menurut Imam masjid disitu yang kini berusia 80 tahun kampung tersebut pernah dilanda banjir besar pada tahun 1951. Ketika itu usia beliau awal 20an. Bermula tahun 1951 hingga tahun 1954 boleh dikatakan kampung itu kerap dilanda banjir. Namun ujar Imam tersebut, banjir tahun 1971 sama besar dengan tahun 2006 dan 2007. Kenyataan beliau disokong oleh beberapa penduduk yang ditemui. Biarpun banjir kali ini begitu besar, seorang pengusaha perahu penumpang di kampung itu bersyukur kerana kerja-kerja membalak di Segamat telah tiada. Keadaan ini menyelamatkan kampungnya dari kemusnahan yang lebih dahsyat. Jikalau tidak sudah tentu sisa-sisa balak yang hanyut akan menjadi pemusnah rumah-rumah yang ada.

Tinjauan penulis di sekitar Kampung Kundang Ulu mendapati sistem perparitan telah dinaik taraf sejak empat bulan lalu.Namun hujan yang lebat dan air yang banyak dari Segamat menyebabkan kampung tersebut terjejas teruk. Banjir yang melanda telah menenggelamkan kampung ini sedalam 2.5 meter ini menyebabkan harta benda gagal diselamatkan.

Langit kelihatan mendung sejak penulis dan Briged Bencana IPTA-UKM tiba. Lebih mengusik kegusaran penulis ketika empat orang anggota Polis Merin Muar tiba untuk membuat pemantauan. Salah seorang anggota polis yang berbual-bual dengan penulis memberitahu air Sungai Muar sedang naik. Penulis tidak terfikir apa-apa selain memohon doa agar banjir tidak melanda lagi. Alasan penulis cemas ialah kerana di Batu Pahat walaupun tiada hujan turun tetapi jumlah orang yang dipindahkan semakin meningkat.

Seharian penulis dan anggota Briged Bencana IPTA-UKM berada di Kampung Kundang Ulu merasakan penduduknya terhibur dengan kehadiran kami. Tambahan hari itu adalah 1 Muharam 1428. Secara tidak langsung kariah masjid tersebut menyambut Maal Hijrah dengan mengecat masjid dan menjamu selera makan tengahari dengan sup daging bersama roti.

Paling terharu seorang penduduk memberitahu pada Hari Raya Aidiladha mereka hanya bertakbir di pusat pemindahan dan tidak dapat bersolat Jumaat sebanyak sekali. Mereka mewakili perasaan lebih 100 ribu mangsa-mangsa banjir di Johor. Kesengsaraan mereka adalah gambaran seluruh mangsa-mangsa banjir. Kita yang masih berada dalam keadaan selesa hulurkan bantuan seadanya. Hari ini hari mereka,esuk entah-entah hari kita

UKM menyediakan tabung bantuan. Fakulti Sains dan Teknologi UKM juga menyediakan tabung untuk diderma.

Isnin, 8 Januari 2007

Catatan penulis sewaktu kali pertama ke tempat dilanda banjir


Tanggal 23 Disember 2006 jam 10 malam, Kampung Batu 30 Bukit Kepong, Muar, Johor hujan turun agak lebat. Hj. Abd. Rahman Md. Asip turun ke halaman rumahnya dan mendapati air sudah setinggi 12.5 cm. Hj. Abd. Rahman berdoa agar air tidak terus naik. Namun hati beliau sudah gusar memandangkan keadaan di Segamat diberitakan telah berlaku banjir besar yang menyebabkan Bandar Segamat lumpuh sama sekali. Jarak 150 meter dari rumah pesara guru ini terdapat Sungai Muar yang membawa air dari Daerah Segamat. Kedengaran airnya sudah laju. Keadaan ini mencemaskan beliau ketika kenderaan berat yang melalui Jalan Muar ke Bukit Kepong dan ke Segamat itu menyebabkan terjadinya gelombang menghempas tangga batu rumah Hj. Abd. Rahman.

Air semakin tinggi menjelang tengah malam sehingga mencecah tiga anak tangga batu rumah beliau. Cikgu Hj. Abd. Rahman semakin cemas mengenangkan nasib beliau, isteri dan seorang anak perempuannya. Akhirnya 24 Disember 2006 menjadi kenyataan apabila halaman rumah, jalan raya Pagoh ke Segamat telah ditutup kepada semua kenderaan, cuma yang ada hanyalah bot-bot penyelamat.

"Inilah banjir paling besar saya alami sejak 30 tahun tinggal di sini", ujar Hj. Abd. Rahman sambil memerhati petugas berita RTM Kuala Lumpur merakam gambar keadaan rumahnya. Di halaman rumah anak menantu dan cucu sedang sibuk mengemas rumah. Mereka pulang sempena cuti hujung minggu. Sementara itu asap yang keluar hasil pembakaran barang-barang yang musnah memutih ke udara.

"Apa boleh buat En, ini takdir yang harus saya terima. Ada hikmahnya juga apabila ramai anak-anak dari UKM datang membantu kami dan jiran-jiran" sambung Hj. Abd. Rahman dengan jelas saya dapat melihat kesayuannya menerusi mata yang berair di sebalik cermin mata.

Di atas tangga batu, terdapat banyak kitab-kitab, buku-buku sekolah, Al Quran masih basah dan lembab.

"Makcik tak berdaya nak.... air semakin tinggi. Masa tu masih duduk kat kerusi roda inilah. Penyelamat datang bawa Makcik keluar. Makcik tak ada anak, abang adalah kat sebelah rumah ni, dialah yang menjengok Makcik", demikian cerita seorang wanita warga emas kepada saya sambil diperhatikan oleh seorang pelajar kejururawatan HUKM. Pelajar tersebut seorang sukarelawan UKM bertanya keadaan kesihatan wanita itu, apa penyakit yang dihidapinya. Pada masa yang sama ramai pelajar sedang mengeluarkan pinggan mangkuk dan pakaian yang kotor akibat banjir untuk dicuci.

Seorang lelaki sedang menukul paku untuk menampal dinding rumah ibunya yang dihempas air banjir. Bahagian dapur dindingnya hancur. " Saya kena bawa emak saya balik ke Johor Bahru. Susah dia kalau tinggal di sini ,"ujur lelaki itu. Bisik hati saya itulah sebaik-baik anak.

Di serambi sebuah rumah, sekumpulan orang sedang berbual melayan seorang nenek Jaharah bt Yahya yang berusia lebih sembilan puluh tahun. Wanita ini seorang ketua masyarakat suatu masa dulu. Waktu itu ujar wanita tersebut Dato' Oon orang kuat di Johor. Seronok beliau bercerita tentang bot-bot polis ulang alik di Sungai Muar berhampiran rumahnya. Semasa peristiwa Bukit Kepong dia masih anak dara dan tinggal di kampung itu. Sungai Muar menjadi saksi bagaimana Jepun, Komunis berulang alik menggunakan sungai tersebut.

Tanpa saya rancang, rupanya isteri ketua kampung tersebut yang turut serta dalam perbualan tersebut merupakan anak perempuan arwah Sarjan Abu Bakar Daud ( PC 37) yang terlibat dalam peristiwa berdarah Bukit Kepong. Puan Laili Abu Bakar merupa anak dari hasil perkongsian hidup dengan Sarjan Abu Bakar. Ibunya isteri kedua selepas isteri pertama beliau mati terbakar dalam peristiwa menyayat hati itu. Perkahwinan arwah Sarjan Abu Bakar telah di kurniakan empat orang anak, dua lelaki, dua perempuan.

Dalam banjir besar di Johor ini Muzium Polis Bukit Kepong turut terjejas, penulis diberitahu terdapat beberapa bahan sejarah turut terendam. Sukarelawan UKM difahamkan telah membersihkan muzium tersebut pada 6 Januari lalu.

Kampung Batu 30 dan Kampung Jawa bukanlah asing bagi saya. Jalan yang merentasi kampung ini kerap saya gunakan jika hendak ke Segamat dari Muar. Begitulah sebaliknya. Jalan ini tenang. Jalan raya ini jugalah yang telah tenggelam setinggi 2 meter. Untuk menziarahi kesemua rumah adalah satu perkara yang sukar kerana saya ke Pagoh dengan rombongan Misi Sukarelawan UKM. Kami ke sana dengan tujuh buah bas, tiga kenderaan 4 X 4. Sukarelawan UKM yang terdiri dari siswa dan siswi dari berbagai fakulti yang pilih dari kolej-kolej kediaman di UKM.

Mereka mencurahkan keringat cukup murah baik dari kalangan siswa mahupun siswi. Semua kaum turut terlibat. Menurut sumber urusetia, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Wahid Samsudin turun padang sejak misi ini diadakan bermula 4 hingga 7 Januari 2007. Untuk rekod, pada 26 hingga 27 Disember 2006 sukarelawan ini telah ke Kota Tinggi, Johor. Misi di Pagoh disertai hampir 500 orang dengan pertukuran peserta setiap hari. Dianggarkan hampir 200 orang turut mengambil bahagian setiap hari. Mereka datang berulang alik dari UKM Bangi ke Pagoh. Universiti Kebangsaan Malaysia merupa IPTA pertama menggerakkan tenaga sukarelawannya.

Pada 7 Januari 2007 Ahad - Naib Canselor YBhg.Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah tiba di Pagoh untuk menyampaikan sumbangan kepada masyarakat di sini.Tidak ketinggalan Pengarah HUKM Prof. Dato Dr. Mohamad bin Abdul Razak bersama pakar-pakar perubatan telah datang pada hari yang sama.

Jika disebut sukarelawan, sepanjang sehari penulis berada di Pagoh, terdapat ramai lagi pihak-pihak yang terlibat. ABIM bersama ahli-ahlinya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Malaysia juga turut serta. Namun mereka bergerak di kawasan yang berbeza.

Bantuan berupa tenaga yang dihulurkan sebenar bukanlah memberikan kelegaan seratus peratus kepada mangsa-mangsa terbabit, namun sedikit sebanyak telah meringan bebanan tekanan perasaan kepada mereka.

Mereka amat gembira ketika penulis berkunjung ke halaman rumah dengan tugasan merakam gambar kesan-kesan banjir. Pada masa yang sama penulis mendapati, mereka akan meluahkan apa yang terbuku.

" Saya balik, dari KL bang...., emak dan ayah ke Mekah (menunaikan fardu haji), mereka sudah tahu rumah kena banjir, cuma tidak tahu keadaan sebenar!" jelas seorang lelaki ketika saya bertandang ke halaman rumahnya.

Catatan ini bersama gambar yang dirakam mewakili perasaan dan pengalaman semua orang. Semua mereka yang terlibat masih trauma. Jika boleh mereka tidak mahu peristiwa ini berulang kembali. Kerosakan yang penulis lihat jelas hampir sembilan puluh peratus musnah. Kita tidak dapat menyelami hakikat perasaan mereka. Seharian penulis di sana terasa amat letih walaupun hanya bertugas merakam gambar dan membuat catatan.Keletihan para sukarelawan tidak boleh saya gambarkan lagi kerana sepanjang perjalanan pulang seratus peratus termasuk saya tidur tidak sedarkan diri.

Paling ternyata, mangsa-mangsa banjir perlu diberikan sokongan. Syabas saya kalungkan kepada anak menantu, cucu mereka yang telah mengorbankan keselesaan hidup di Kuala Lumpur atau di mana-mana yang pulang untuk membersih, membaiki rumah dan membasuh pakaian. Permaidani yang cantik semasa Hari Raya Aidilfitri telah musnah.

Satu sumber memberitahu terdapat disebuah rumah, persiapan pengantin musnah sama sekali. Terdapat juga berita, tujuh rumah terpaksa membatalkan majlis perkahwinan

7 Januari 2007-Jam 12 tengah malam di Bangi, saya masih tidak selesa untuk tidur kerana terkenangkan mangsa-mangsa banjir mungkin tidur tidak berbantal, tilam, katil. Mareka masih teringat bunyi air, bot, lori penyelamat. Pastinya itulah takdir Allah yang tidak ada siapa mampu menghalang atau lari daripadanya.............

Allah Huakbar!