Catatan penulis sewaktu kali pertama ke tempat dilanda banjir


Tanggal 23 Disember 2006 jam 10 malam, Kampung Batu 30 Bukit Kepong, Muar, Johor hujan turun agak lebat. Hj. Abd. Rahman Md. Asip turun ke halaman rumahnya dan mendapati air sudah setinggi 12.5 cm. Hj. Abd. Rahman berdoa agar air tidak terus naik. Namun hati beliau sudah gusar memandangkan keadaan di Segamat diberitakan telah berlaku banjir besar yang menyebabkan Bandar Segamat lumpuh sama sekali. Jarak 150 meter dari rumah pesara guru ini terdapat Sungai Muar yang membawa air dari Daerah Segamat. Kedengaran airnya sudah laju. Keadaan ini mencemaskan beliau ketika kenderaan berat yang melalui Jalan Muar ke Bukit Kepong dan ke Segamat itu menyebabkan terjadinya gelombang menghempas tangga batu rumah Hj. Abd. Rahman.

Air semakin tinggi menjelang tengah malam sehingga mencecah tiga anak tangga batu rumah beliau. Cikgu Hj. Abd. Rahman semakin cemas mengenangkan nasib beliau, isteri dan seorang anak perempuannya. Akhirnya 24 Disember 2006 menjadi kenyataan apabila halaman rumah, jalan raya Pagoh ke Segamat telah ditutup kepada semua kenderaan, cuma yang ada hanyalah bot-bot penyelamat.

"Inilah banjir paling besar saya alami sejak 30 tahun tinggal di sini", ujar Hj. Abd. Rahman sambil memerhati petugas berita RTM Kuala Lumpur merakam gambar keadaan rumahnya. Di halaman rumah anak menantu dan cucu sedang sibuk mengemas rumah. Mereka pulang sempena cuti hujung minggu. Sementara itu asap yang keluar hasil pembakaran barang-barang yang musnah memutih ke udara.

"Apa boleh buat En, ini takdir yang harus saya terima. Ada hikmahnya juga apabila ramai anak-anak dari UKM datang membantu kami dan jiran-jiran" sambung Hj. Abd. Rahman dengan jelas saya dapat melihat kesayuannya menerusi mata yang berair di sebalik cermin mata.

Di atas tangga batu, terdapat banyak kitab-kitab, buku-buku sekolah, Al Quran masih basah dan lembab.

"Makcik tak berdaya nak.... air semakin tinggi. Masa tu masih duduk kat kerusi roda inilah. Penyelamat datang bawa Makcik keluar. Makcik tak ada anak, abang adalah kat sebelah rumah ni, dialah yang menjengok Makcik", demikian cerita seorang wanita warga emas kepada saya sambil diperhatikan oleh seorang pelajar kejururawatan HUKM. Pelajar tersebut seorang sukarelawan UKM bertanya keadaan kesihatan wanita itu, apa penyakit yang dihidapinya. Pada masa yang sama ramai pelajar sedang mengeluarkan pinggan mangkuk dan pakaian yang kotor akibat banjir untuk dicuci.

Seorang lelaki sedang menukul paku untuk menampal dinding rumah ibunya yang dihempas air banjir. Bahagian dapur dindingnya hancur. " Saya kena bawa emak saya balik ke Johor Bahru. Susah dia kalau tinggal di sini ,"ujur lelaki itu. Bisik hati saya itulah sebaik-baik anak.

Di serambi sebuah rumah, sekumpulan orang sedang berbual melayan seorang nenek Jaharah bt Yahya yang berusia lebih sembilan puluh tahun. Wanita ini seorang ketua masyarakat suatu masa dulu. Waktu itu ujar wanita tersebut Dato' Oon orang kuat di Johor. Seronok beliau bercerita tentang bot-bot polis ulang alik di Sungai Muar berhampiran rumahnya. Semasa peristiwa Bukit Kepong dia masih anak dara dan tinggal di kampung itu. Sungai Muar menjadi saksi bagaimana Jepun, Komunis berulang alik menggunakan sungai tersebut.

Tanpa saya rancang, rupanya isteri ketua kampung tersebut yang turut serta dalam perbualan tersebut merupakan anak perempuan arwah Sarjan Abu Bakar Daud ( PC 37) yang terlibat dalam peristiwa berdarah Bukit Kepong. Puan Laili Abu Bakar merupa anak dari hasil perkongsian hidup dengan Sarjan Abu Bakar. Ibunya isteri kedua selepas isteri pertama beliau mati terbakar dalam peristiwa menyayat hati itu. Perkahwinan arwah Sarjan Abu Bakar telah di kurniakan empat orang anak, dua lelaki, dua perempuan.

Dalam banjir besar di Johor ini Muzium Polis Bukit Kepong turut terjejas, penulis diberitahu terdapat beberapa bahan sejarah turut terendam. Sukarelawan UKM difahamkan telah membersihkan muzium tersebut pada 6 Januari lalu.

Kampung Batu 30 dan Kampung Jawa bukanlah asing bagi saya. Jalan yang merentasi kampung ini kerap saya gunakan jika hendak ke Segamat dari Muar. Begitulah sebaliknya. Jalan ini tenang. Jalan raya ini jugalah yang telah tenggelam setinggi 2 meter. Untuk menziarahi kesemua rumah adalah satu perkara yang sukar kerana saya ke Pagoh dengan rombongan Misi Sukarelawan UKM. Kami ke sana dengan tujuh buah bas, tiga kenderaan 4 X 4. Sukarelawan UKM yang terdiri dari siswa dan siswi dari berbagai fakulti yang pilih dari kolej-kolej kediaman di UKM.

Mereka mencurahkan keringat cukup murah baik dari kalangan siswa mahupun siswi. Semua kaum turut terlibat. Menurut sumber urusetia, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Wahid Samsudin turun padang sejak misi ini diadakan bermula 4 hingga 7 Januari 2007. Untuk rekod, pada 26 hingga 27 Disember 2006 sukarelawan ini telah ke Kota Tinggi, Johor. Misi di Pagoh disertai hampir 500 orang dengan pertukuran peserta setiap hari. Dianggarkan hampir 200 orang turut mengambil bahagian setiap hari. Mereka datang berulang alik dari UKM Bangi ke Pagoh. Universiti Kebangsaan Malaysia merupa IPTA pertama menggerakkan tenaga sukarelawannya.

Pada 7 Januari 2007 Ahad - Naib Canselor YBhg.Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah tiba di Pagoh untuk menyampaikan sumbangan kepada masyarakat di sini.Tidak ketinggalan Pengarah HUKM Prof. Dato Dr. Mohamad bin Abdul Razak bersama pakar-pakar perubatan telah datang pada hari yang sama.

Jika disebut sukarelawan, sepanjang sehari penulis berada di Pagoh, terdapat ramai lagi pihak-pihak yang terlibat. ABIM bersama ahli-ahlinya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Malaysia juga turut serta. Namun mereka bergerak di kawasan yang berbeza.

Bantuan berupa tenaga yang dihulurkan sebenar bukanlah memberikan kelegaan seratus peratus kepada mangsa-mangsa terbabit, namun sedikit sebanyak telah meringan bebanan tekanan perasaan kepada mereka.

Mereka amat gembira ketika penulis berkunjung ke halaman rumah dengan tugasan merakam gambar kesan-kesan banjir. Pada masa yang sama penulis mendapati, mereka akan meluahkan apa yang terbuku.

" Saya balik, dari KL bang...., emak dan ayah ke Mekah (menunaikan fardu haji), mereka sudah tahu rumah kena banjir, cuma tidak tahu keadaan sebenar!" jelas seorang lelaki ketika saya bertandang ke halaman rumahnya.

Catatan ini bersama gambar yang dirakam mewakili perasaan dan pengalaman semua orang. Semua mereka yang terlibat masih trauma. Jika boleh mereka tidak mahu peristiwa ini berulang kembali. Kerosakan yang penulis lihat jelas hampir sembilan puluh peratus musnah. Kita tidak dapat menyelami hakikat perasaan mereka. Seharian penulis di sana terasa amat letih walaupun hanya bertugas merakam gambar dan membuat catatan.Keletihan para sukarelawan tidak boleh saya gambarkan lagi kerana sepanjang perjalanan pulang seratus peratus termasuk saya tidur tidak sedarkan diri.

Paling ternyata, mangsa-mangsa banjir perlu diberikan sokongan. Syabas saya kalungkan kepada anak menantu, cucu mereka yang telah mengorbankan keselesaan hidup di Kuala Lumpur atau di mana-mana yang pulang untuk membersih, membaiki rumah dan membasuh pakaian. Permaidani yang cantik semasa Hari Raya Aidilfitri telah musnah.

Satu sumber memberitahu terdapat disebuah rumah, persiapan pengantin musnah sama sekali. Terdapat juga berita, tujuh rumah terpaksa membatalkan majlis perkahwinan

7 Januari 2007-Jam 12 tengah malam di Bangi, saya masih tidak selesa untuk tidur kerana terkenangkan mangsa-mangsa banjir mungkin tidur tidak berbantal, tilam, katil. Mareka masih teringat bunyi air, bot, lori penyelamat. Pastinya itulah takdir Allah yang tidak ada siapa mampu menghalang atau lari daripadanya.............

Allah Huakbar!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pengalaman Meninjau Kesan Banjir Besar di Johor 2006-2007

Menjengah Makam Laksamana Bentan di Kota Tinggi, Johor.SELEPAS BANJIR: Mengubati perasaan insan yang derita.....